Thursday, February 7

Valentine Day , halalkah ?


Saban hari kita melihat ramai pasangan-pasangan biarpun muslim di Malaysia masih lagi mengamalkan upacara Valentine Day ini tanpa meneliti dan memahami apa sebenarnya yang tersirat disebalik doktrinisasi dari kristian ini.

Untuk menghalalkan lagi sambutan hari musyrik tersebut, sambutan hari kekasih ini turut diraikan bersama ahli keluarga, suami isteri, adik beradik dan pemimpin yang disanjung. Paling tidak pun acara bertukar-tukar bunga, hadiah, coklat dan kek dilakukan bagi memeriahkan hari tersebut.

Seringkali batas halal haram dilanggar atas alasan tidak apa sekali sekala dan kita boleh bertaubat secara berkala. Sesungguhnya penyongsangan minda dan akidah secara halus ini wajib dicegah dan ditegah dari terus berleluasa.





Halal kah untuk disambut ?

Rasulullah s.a.w pernah berpesan: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari amalan kami maka ia akan ditolak” (Riwayah Bukhari dan Muslim)

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.


Islam Ada Cara

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya.



Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.

______________

Hasil nukilan : ma'ruf club uia

Followers