Friday, June 7

[REMAJA MULIA, APA YANG KAMU CARI?]


Ramai orang muda yang pergi belajar di sekolah, universiti, balik dan habis begitu saja. Selain daripada makan minum, main, kerja dan mahu hidup berpasangan, apakah lagi yang dicari dalam hidup ini?

Dukacita kalau kehidupan ini diisi dengan perkara-perkara itu tanpa kita tahu ke manakah arah kehidupan ini akan kita bawa. Lebih menyedihkan lagi adalah bila hidup ini difikirkan hanya mahu diisi dengan syahwat dan keseronokan semata-mata.

Remaja mulia, ke manakah akhirnya kita akan bawa kehidupan ini?

Ada anak muda yang pergi sekolah, universiti, belajar, tetapi dalam masa yang sama mencari pasangan couple. Tak kurang, ada yang terlibat dalam gejala maksiat sehingga terlanjur, melakukan zina yang dimurkai Allah.

Ada anak muda yang pergi sekolah, universiti, belajar, tetapi dalam masa yang sama bersikap kurang adab dengan guru, bahkan ada yang memukul dan membelasah guru, memancitkan tayar guru, bergaduh dengan guru.

Ada anak muda yang pergi ke sekolah, universiti, belajar, tetapi dalam masa yang sama memencilkan diri daripada masyarakat. Pusingan hidupnya hanya rumah dan bilik kuliahnya sahaja. Tidak dipedulikannya masyarakatnya menjadi apa.

Kitaran ini berulang di setiap generasi. Berakhir dengan kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, budaya samseng dan hero jalanan, hilang hormat terhadap ibu ayah dan guru, hilangnya keberkatan dalam kehidupan.

Kitaran yang rosak ini, jika dibiarkan, kalau tidak kita terlibat sekalipun, bimbanglah generasi kita yang akan datang.


Remaja mulia, apa yang kamu cari dalam hidup ini?

Kalau hidup hanya sekadar hidup, belajar hanya sekadar belajar, pergi sekolah hanya sekadar pergi sekolah, kamu tidak akan menemukan kemuliaan dalam hidup ini.

Kamu harus tahu untuk apa kamu hidup dan kamu perlu tahu ke mana akan kamu bawa hidup kamu sekarang ini.

Apakah maksiat dan dosa, zina dan sebagainya itu akan menghantarkan kamu kepada kebaikan di masa depanmu?

Apakah sikap kurang adab kamu dengan guru, dengan ibu ayah itu memberikan untung untuk masa depanmu?

Apakah yang kamu sedang kejar?

Kita hidup tidak lama, remajaku. Nanti kita akan mati. Kita akan pulang bertemu Allah. Apakah yang akan kita jawab di depan Allah s.w.t. nanti dengan apa yang sedang kita lakukan sekarang?

Mahukah kita menjawab di depan Allah nanti kala Allah bertanya, wahai anak muda, apakah yang telah kamu lakukan di masa mudamu?

Apakah bisa kita menjawab, "Aku telah berzina dengan si fulanah binti si fulanah." kala hari itu kemurkaan Allah yang tiada batasnya kerana derhakanya ramai manusia? Bisakah kita menjawab sedemikian?

Apakah kuat untuk kita menjawab, "Aku telah melakukan dosa sekian sekian." kala mati kita, kita tidak sempat bertaubat dari kesalahan itu dan kita pun menghadapi Allah s.w.t. pada hari perhitungan itu dengan jiwa yang kotor, apakah kita kuat?

Tanyalah dirimu, wahai remaja mulia.
Apakah yang dicari, dikejar dalam hidupmu?
Abang kakakmu berpesan kerana kasihkan kamu.

Jagalah dirimu dengan agamamu di kala kerosakan sedang menjangkiti ramai manusia.

Ketahuilah dan tetapkanlah matlamatmu dalam hidup. Jangan biarkan anasir-anasir tidak baik melemahkan kamu, mengganggu perjalanan hidupmu menuju Allah.

Kamu ada akhirat untuk kamu pulang, ingat itu remajaku !

[PESANAN BUAT REMAJA MULIA]

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Followers