Bismilahirahmanirahim...
memandangkan mgu dpn ad ujian lisan/syafawi/oral hafazan,
so,kali nk p0st ckit sal mghafaz al-quran ni..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan sebagai pembimbing manusia ke jalan yang benar. Oleh kerana ia yang akhir, maka ia lebih lengkap dibandingkan dengan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Al-Quran juga merupakan kitab yang mu`jiz. Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia. Dan yang lebih hebat lagi, ia boleh dihafaz oleh manusia dan jin yang mempunyai niat yang ikhlas untuk berbuat demikian. Tentu ada sesuatu hikmah disebaliknya, justeru kita dianjurkan supaya menghafaznya.
Menghafaz Al-Quran bukan perkara baru. Sejak ia diturunkan ia telah pun dihafaz. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang pertama menghafaz Al-Quran. Dengan demikian baginda s.a.w. digelarkan Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz Al-Quran). Sahabat-sahabat semuanya menghafaz Al-Quran. Ada di antara mereka yang menghafaz seluruh Al-Quran, dan ada di antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja. Bagi setiap orang Islam dikehendaki menghafaz Al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca di dalam solat.
Menghafaz Al-Quran bukan bermakna mengingat ayat-ayatnya sahaja, malah ia mempunyai maksud yang lebih daripada itu. Tidak ada bahasa lain yang dapat menterjemahkan perkataan Hafaz atau (hifz) dalam bahasa Aarab. Hifz dari segi bahasa bermaksud menjaga, dan memelihara. Justeru, orang yang menghafaz Al-Quran ialah orang yang memelihara Al-Quran daripada hilang. Ia menyimpannya di dalam dada, dan ia membacanya selalu supaya tidak lupa dan tidak hilang. Khuram Murad menyebutkan di dalam bukunya Way to the Qur'an (1991) dengan mengatakan bahawa:
The word Hifz now used in the limited sense of memorizing, includes
both understanding and practice. In fact there is no English word
which can accurately reflect its true and full meaning.
Hifz is an essential way of making the Qur'an penetrate you. It is not
a mechanical, ritual etc., it is an act of high spiritual and devotional
impotence. Through Hifz one can read in prayers and ponder its
meaning. It makes the Qur'an flow on your tongue, reside in your
mind, dwell in your heart, and it becomes your constant companion.
Berdasarkan kepada kenyataan ini, kita faham bahawa menghafaz bukan bermaksud mengingat sahaja, walau pun mengingat itu satu daripada unsur menghafaz. Menghafaz bermaksud menjaga, mengulang dan menghayati. Proses menghafaz bermula dengan membaca dan mengulang. Yang telah lekat di dalam dada itu dijaga supaya tidak hilang. Caranya ialah juga dengan selalu mengulang-ulang bacaan. Menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca itu tidak dapat dilakukan kecuali dengan memahami maknanya. Dan ini juga merupakan satu aktiviti yang perlu diambil perhatian.
Menghafaz al-Quran tidak seperti menghafaz senikata lagu dan prinsip-prinsip matematik
atau sains. Selain daripada sifatnya yang tidak sama itu, menghafaz Al-Quran adalah ibadat.
Ia suatu amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.. Dengan sebab itu ia mempunyai beberapa kelebihan. Jadi, sebelum kita bincangkan tentang panduan dan cara-cara
menghafaz, elok jika kita perhatikan dahulu tentang kelebihan membaca dan
menghafaz Al-Quran.
Firman Allah:
Maksudnya: "Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan ke jalan yang
paling lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang
mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ganjaran yang besar"
Surah Al-Isra 9.
FimanNya lagi:
Maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia atau secara terang, sedangkan mereka mengharapkan perniagaan yang tidak akan binasa (pahala yang bekekalan), nescaya Allah akan menyempurnakan kepada mereka ganjaran yang patut mereka dapat, malah menambahkan lagi kepada mereka beberapa
kelebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengampun lagi amat bersyukur". Surah Fatir 29-30.
Selain daripada itu, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) bersabda bemaksud:
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Ta'ala, maka baginya satu kebajikan, dan satu kebajikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif, Lam, Min itu satu huruf, tetapi, Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf". Riwayat Ibnu Mas'ud.
Abu Umamah al-Bahili r.a. meriwayatkan dengan katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya"
Membaca Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala dan menjadi syafaat di dalam kubur dan juga di hari Akhirat, tetapi ia juga merupakan ubat dan penawar serta rahmat bagi seluruh kaum muslimin. Ini adalah berdasarkan firman Allah:
Bermaksud: "Dan Kami turunkan sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran itu menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin".
Surah Isra 82.
Fadhilat Al-Quran bukan sahaja kerana membacanya, malah mendengarnya pun mendapat banyak manfaat. Antaranya ialah seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendengar (bacaan) satu ayat dari kitab Allah
(Al-Quran), maka ayat itu menjadi nur (cahaya) baginya". Riwayat
Ibnu Abbas r.a.
Malah,lebih daripada itu jika kita dapat menghafaz, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain. Kerana dengan menghafaz kita dapat memelihara Al-Quran daripada hilang, dan dengan mengajarnya kita dapat menyelamatkan orang Islam daripada kehilangan punca agama dan aqidah. Dalam sebuah hadis riwayat Uthman bin 'Affan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang maksudya:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain"
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ad-Darimi daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya Allah Ta`ala tidak menyiksa hati yang menyimpan Al-Quran (hafaz Quran). Dan sesungguhnya Al-Quran itu hidangan Allah, maka sesiapa yang
masuk padanya, maka dia mendapat keamanan, dan sesiapa yang kasihkan Al-Quran, maka hendaklah ia bergembira (dengan berita baik daripada Allah Ta'ala".
Sebaliknya rugilah orang yang tidak ada Al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat. Rasulullah s.a.w. menganggapkan orang yang tidak membaca Al-Quran dan tidak menghafaznya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya ialah orang yang sangat rugi seperti rumah buruh yang hampir runtuh. Sabda baginda s.a.w. bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir runtuh" Hadis riwayat Tarmizi.
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis seperti yang dibentangkan di atas, marilah sama-sama kita insaf diri dan kembali kepada Al-Quran. Iaitu dengan mempelajarinya, memahami, menghafaz dan mengamal serta menghayati ajarannya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~`
INSYALLAH...
ALLAH prmudahkan aq n sohabat2 untk mghafaz surah2 t..^^
No comments:
Post a Comment