Tuesday, May 15

‎(lagi Isu Palestin-Nakbah Palestin)

 

Hadith Nabi s.a.w menyatakan, “Siapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan umat islam, maka dia bukanlah dari kalangan mereka ( orang islam ).” 


{ Gambar : Hari Memperingati NAKBA - 64 yang dibuat oleh HAMAS di Kem Pelarian Shati , Gaza }

Secara rasminya kemuncak peristiwa NAKBAH berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948, bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera The Star of David dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diistiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulangtahun ke 64 ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.
Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi Yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini.
Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya Masjid al-Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh Yahudi Zionis sehingga ke hari ini.

Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.

Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat.” Para sahabat bertanya, “Di mana mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.” – Imam Ahmad
Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya dari Rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah?

Petikan dari ,
Teks khutbah disediakan oleh Aqsa Syarif
15 Mei 2012 (Sempena Bulan Naqbah)
Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif

No comments:

Followers